Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru penggerak kesederhanaan dari semua negara dan agama untuk kembali menuntut agenda keamanan serta pragmatisme dalam usaha menolak sebarang bentuk ekstremis.

Perdana Menteri menegaskan kesederhanaan bukan satu pilihan yang mudah tetapi perlu diusahakan agar menjadi sebahagian daripada kehidupan serta cara kita berfikir dan bertindak.

"Ia satu keperluan untuk kita dalam sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kepercayaan dan etnik untuk memahami serta menghargai perbezaan antara kita.

"Namun, ini hanya boleh berlaku sekiranya kita mengamalkan kesederhanaan yang merangkumi penerimaan, hormat-menghormati dan memahami antara satu sama lain dengan sebaiknya. Ini bukan mudah untuk semua orang," katanya ketika berucap melancarkan laman web dan penerbitan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Malaysia (GMMF) di sini hari ini.

Beliau memetik peristiwa serangan di Marawi, Filipina tempoh hari serta serangan lain di serata dunia terutamanya di Syria dan Iraq yang digerakkan oleh kumpulan pengganas Daish sebagai kesan buruk ekstremis.

"Ini sebabnya saya menjuarai kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai jalan terbaik kerana kesederhanaan adalah jalan kesempurnaan untuk manusia, sebuah idea yang diajar Islam dan setiap agama lain," ujarnya.

Sambil menghargai usaha yang dijalankan GMM, Perdana Menteri percaya kewujudan laman web baharu itu akan lebih mendedahkan orang ramai terhadap kerja-kerja yayasan tersebut sekali gus menggalakkan mereka untuk bersama dalam perjuangan ke arah keamanan dan kemakmuran.

Dalam majlis itu juga, Najib menandatangai penerbitan pertama GMM bertajuk ‘The Movement of Moderates: The Revitalisation of An Ancient Philosophy', sebuah kompilasi ucapan yang disampaikan beliau di serata dunia sejak yang pertama pada 2010 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke-65.

Sementara buku kedua bertajuk ‘The Movement of Moderates: Building Bridges Breaking Barriers' mengandungi ucapan terpilih serta kertas kajian daripada Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GMM Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.