Kemahiran pengurusan menghadapi bencana perlu dimiliki setiap agensi korporat bagi mengisi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ketika bencana melanda, kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Beliau berkata bencana alam merupakan suatu keadaan yang tidak dirancang namun manusia perlu merancang bagaimana menghadapi situasi itu agar tidak panik apabila berhadapan situasi sebenar.

Justeru, Mohd Khamil berkata setiap agensi perlu bersiap siaga membantu masyarakat ketika bencana alam berlaku bagi mengurangkan beban mangsa serta membantu pasukan penyelamat negara.

"Apabila bencana alam berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan masyarakat terlibat malah ekonomi turut terjejas. Maka kita perlu tampil menghulur bantuan kepada mereka menerusi program CSR kita.

"Peranan kita bukan hanya bantu dari aspek melengkapi barangan keperluan mangsa malah bantu mangsa ketika di pusat pemindahan, berpindah dan mencuci kediaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Inovasi Dalam Bantuan Kemanusiaan: Peranan yang Dilaksanakan Oleh Sektor Korporat' pada Persidangan Antarabangsa Kemanusiaan dan Sains Sosial kali kelapan anjuranUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Prince of Songkla University di sini, hari ini.

Sebanyak 102 kertas kerja berkaitan bidang kemanusiaan dan sains sosial dibentangkan kira-kira 150 peserta pada persidangan bertemakan 'Peluang dan Cabaran Inovasi Dalam Kemanusiaan dan Sains Sosial'.

Mohd Khamil berkata DRB-Hicom Group Bhd menubuhkan 'Pasukan Kecemasan dan Penyelamat DRB-Hicom' (DHEAT) dengan kekuatan 32 anggota yang dipertanggungjawab membantu mangsa ketika berlaku sebarang bencana alam di negara ini.

Katanya pasukan itu ditubuhkan kira-kira dua tahun lepas selepas berlaku banjir besar di negeri Pantai Timur melibatkan ribuan mangsa.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM Profesor Dr Haslinda Abdullah berkata aspek komunikasi menjadi faktor utama bagi melicinkan proses bantuan dan menyelamat dan kawasan terjejas.

Beliau berkata pelbagai masalah timbul ketika bencana alam melanda sehingga menyebabkan pasukan penyelamat gagal untuk tiba di lokasi kejadian dalam masa yang singkat.

"Hasil kajian saya mendapati, masalah komunikasi menyukarkan proses bantuan dan menyelamat. Maka koordinasi itu perlu bagi mempercepatkan proses. Kajian saya menumpukan kepada aspek saluran komunikasi, komunikasi antara agensi dan komunikasi antara unit," katanya.

Haslinda berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Komunikasi bagi Respons Bencana'.

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada bencana alam yang melanda negara sebelum ini. Sebagai contoh, banjir besar melanda negeri di pantai timur pada penghujung 2014. Maka kerajaan dapat melihat kelemahan dan mempertingkatkan kekurangan," katanya.