Tutup

Agihan RM25 juta SAR, SAP, SAN ikut keperluan - Maszlee

Agihan RM25 juta SAR, SAP, SAN ikut keperluan - Maszlee
Peruntukan tambahan RM25 juta kepada sekolah agama rakyat, sekolah agama persendirian dan sekolah agama negeriakan diagihkan mengikut keperluan, keutamaan serta potensi pengembangan sekolah, kata Maszlee Malik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peruntukan tambahan RM25 juta kepada sekolah agama rakyat (SAR), sekolah agama persendirian (SAP) dan sekolah agama negeri (SAN) yang berdafar akan diagihkan mengikut keperluan, keutamaan serta potensi pengembangan sekolah.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu membantu kementerian mengoptimumkan penggunaan dana yang diperuntukan bagi tujuan penyelenggaraan dan mengurus sekolah terlibat.
“Sekiranya peruntukan diagihkan kepada sekolah-sekolah yang berdaftar dengan kementerian dan pihak berkuasa agama negeri berdasarkan enrolment murid yang ada tanpa melihat kepada keperluan sebenar sekolah yang memohon, dikhuatiri jumlah yang bakal diterima tidak signifikan dan tidak bermakna bagi sekolah tertentu.

“Boleh jadi ada sekolah yang besar, mereka ada kepala (murid) yang lebih banyak, kalau kita guna formula per kepala (per head) ini mereka akan dapat peruntukan lebih walaupun sebenarnya keperluan mereka tidak seperti sekolah lain yang kecil tetapi keperluan banyak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mencadangkan kerajaan menggunakan mekanisme pengagihan bantuan berdasarkan per kepala yang dianggap lebih adil.

Kementerian Kewangan pada 14 Februari lepas meluluskan RM25 juta peruntukan khas tambahan di bawah peruntukan mengurus bagi tujuan penyelenggaraan SAR, SAP dan SAN yang berdaftar dengan kementerian dan pihak berkuasa agama negeri serta melaksanakan kurikulum kebangsaan sahaja.

Menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi mengenai jumlah pengagihan peruntukan yang telah disalurkan, Maszlee berkata, permohonan 78 sekolah berdaftar dengan kementerian telah diluluskan melibatkan peruntukan RM6.294 juta. 

Jelasnya lagi, sebanyak permohonan 254 sekolah yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM14.195 juta.


Tag: Maszlee Malik, Menteri Pendidikan, sekolah agama rakyat, sekolah agama persendirian, sekolah agama negeri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.