Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa sama ada untuk menangguh atau membubarkan Parlimen.

Peguambela dan peguamcara, Datuk Setia Salehuddin Saidin berkata bidang kuasa tersebut termaktub di bawah Perkara 55 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, kata beliau, yang menjadi persoalan adakah Perkara 55 Fasal (2) itu perlu dibacakan secara bersama-sama Perkara 40 dan 43 dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kuasa tersebut mesti datang daripada Perdana Menteri.

"Jika tidak ada dan tidak tahu siapa majoriti, ada kemungkinan Agong boleh gunakan kuasa di bawah Perkara 55 untuk bertindak membubarkan Parlimen," katanya menerusi temu bual khas dalam Buletin AWANI pada Rabu.



Pada Selasa, semua Ahli Parlimen dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menamakan seorang calon untuk jawatan Perdana Menteri dalam sesi temu bual secara peribadi.

Mengulas lanjut, Salehuddin menambah, sekiranya Perdana Menteri Interim gagal membentuk majoriti gabungan untuk membentuk kerajaan, Perkara 55 untuk membubarkan Parlimen boleh terpakai bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15.

"Situasi ini tidak pernah berlaku tapi kalau lihat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak menyatakan baginda tidak boleh dilakukan cuma yang dinyatakan ialah Yang di-Pertuan Agong may prorogue or dissolve the Parliament.

"Kalau dirujuk balik jadual 8 dalam Perlembagaan juga menyatakan hal yang sama," ujarnya.