Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berangkat ke istiadat sambutan Hari Pahlawan 2016 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Sebaik keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua, lagu 'Negaraku' dimainkan dan Tuanku Abdul Halim kemudian menerima kawalan kehormatan utama diiringi 21 das tembakan meriam.

Kawalan kehormatan itu terdiri daripada 103 anggota pangkat-pangkat lain berserta empat pegawai, diketuai Mejar Mohd Azroi Ariffin Shah.

Komposisi keseluruhan perbarisan terdiri daripada 20 pegawai dan 511 anggota LLP dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 4 pegawai dan 144 anggota Polis Diraja Malaydia (PDRM), serta 4 pegawai dan 120 anggota dari kedua-dua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV ATM) dan Persatuan Bekas Polis Diraja Malaysia (PBPM).

Ia diketuai Leftenan Kolonel Mohd Raszi Othman dari ATM (Pegawai Memerintah Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja).

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseun dan isteri, Datin Seri Tengku Marsila Tengku Abdullah, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Pancaragam yang mengambil bahagian dalam istiadat hari ini adalah gabungan Pancaragam ATM dan PDRM di bawah pimpinan Mejar Zaiful Azman Zainol Abidin.

Istiadat diteruskan dengan tiupan 'Paluan Akhir' yang menyaksikan Jalur Gemilang diturunkan, diikuti deklamasi sajak 'Pahlawanku' oleh Kolonel Mohd Radzi Abdul Hamid.

Turut menarik perhatian ialah persembahan pentomen khas 'Pertempuran di Jalan Raya Timur- Barat, Grik, Perak Darul Ridzuan' yang mengisahkan insiden serang hendap Ulu Gong Jalan Raya Timur Barat pada 15 Ogos 1977 bagi mengenang keberanian Pegawai Waran Satu Ielias Ibrahim (Bersara) dan Lans Koperal Abdul Halim Hassan.

Turut diberi penghormatan adalah Allahyarham PBT Ali Hassan yang diwakili anak sulungnya, Ismail Ali.

Acara diteruskan dengan tiupan 'Paluan Fajar' dan bendera Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan.

Istiadat berakhir dengan acara 'Hormat Diraja' sebelum Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan majlis.

Turut hadir pada istiadat hari ini ialah menteri-menteri kabinet dan perwakilan asing.