Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Istana Kota Lama di sini, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ismail Petra, yang mangkat pada pukul 8.11 pagi ini.

Almarhum Sultan Ismail Petra adalah ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Seri Paduka, yang tiba pada pukul 3.20 petang turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di istana berkenaan pada pukul 2.10 petang.

Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar selepas solat Asar hari ini. - BERNAMA