Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah hari ini berkenan membuat kejutan sambutan hari lahir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menerusi ciapan di Twitter @bernamadotcom, sambutan itu diadakan di Istana Negara pada istiadat persembahan darjah kebesaran Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) dan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N).

Sambutan itu diiringi dengan nyanyian lagu 'Happy Birthday' berserta kek dan pulut kuning yang dihias cantik.

Dr Mahathir menyambut hari lahirnya yang ke-94 pada Rabu, yang turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Manakala esok pula (12 Julai) merupakan hari lahir Dr Siti Hasmah yang ke-93.

Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 namun tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu selama 22 tahun.

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, Dr Mahathir muncul kembali di arena politik apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menentang kerajaan Barisan Nasional.

Pada tahun 2018, dalam satu kejutan politik yang tidak disangka-sangka, Bersatu dan parti-parti bersekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berjaya memenangi PRU14.