Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Luar terhadap usaha membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara susulan pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menzahirkan penghargaan tersebut secara langsung kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi sidang video pada Rabu.

“Saya bersama Yang di-Pertuan Raja Permaisuri (Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) mengucapkan terima kasih kepada warga Wisma Putra khususnya kedutaan-kedutaan Malaysia di luar dan juga pasukan petugas COVID-19 Kementerian Luar Negeri dalam usaha kita membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran penularan COVID-19,” demikian titah baginda.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, baginda turut menghargai komitmen yang diberikan pasukan petugas COVID-19 di kementerian tersebut dalam menyediakan laporan dan khidmat konsular kepada diplomat asing di negara ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Al Sultan Abdullah juga menasihati rakyat Malaysia di luar negara agar sentiasa berhati-hati dan menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu bagi mengekang pandemik COVID-19.

“Disiplin diri dan komitmen terutamanya pematuhan penjarakan sosial dan kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh negara-negara bermastautin perlu diberi perhatian yang serius,” katanya.

Sehubungan itu, kata Ahmad Fadil, baginda menzahirkan harapan agar Wisma Putra dapat mengukuh lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara lain.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar memaklumkan seramai 14,015 orang rakyat Malaysia yang terkandas di 70 negara susulan wabak COVID-19 sudah berjaya dibawa pulang