Tutup

Agong sebak ketika beri penghormatan terakhir kepada Almarhum ayahanda

Agong sebak ketika beri penghormatan terakhir kepada Almarhum ayahanda
Jelas juga kelihatan YDP Agong Al-Sultan Abdullah tidak dapat menahan rasa sebak ketika melihat jenazah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. - Gambar BERNAMA
PEKAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah memberikan penghormatan terakhir kepada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang mangkat, pagi semalam.

Baginda berangkat tiba kira-kira jam 10.37 pagi di Istana Abu Bakar di Pekan, diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Turut berkenan berangkat sama adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, anakanda-anakanda, adinda-adinda dan cucuanda-cucuanda Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Suasana sayu dan suram menyelubungi Istana Abu Bakar. Jelas juga kelihatan baginda Al-Sultan Abdullah tidak dapat menahan rasa sebak ketika melihat jenazah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan solat jenazah untuk Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Sha

Sejurus selepas itu, baginda menunaikan solat jenazah untuk Almarhum bersama kaum kerabat terdekat. 

Turut dilihat Sultan Abdullah bertemu dan dipeluk Raja Permaisuri Agong dan adik beradik Seri Paduka menyebabkan suasana sayu dan sedih sebelum bersalaman dengan kenaman dan hadirin yang hadir.


Selepas selesai solat jenazah, jenazah akan dinaikkan di pedati untuk ditarik sejauh 2.2 kilometer (km) ke Makam Diraja Pekan untuk dimakamkan selepas solat Zohor.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut tiba di Istana Abu Bakar pada pukul 11.05 pagi untuk penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Sebanyak 88 das tembakan akan dilepaskan di perkarangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini oleh Pasukan 41 Rejimen Artileri DiRaja (RAD), Sungai Buloh, Selangor.

Tembakan meriam itu akan bermula sejurus jenazah diletakkan di atas pedati dan akan dilepaskan setiap 23 meter pergerakan pedati yang bermula dari Istana Sultan Abu Bakar hingga ke Makam Diraja Pekan, Pahang.

Jumlah 88 das tembakan itu adalah simbolik kepada usia baginda iaitu 88 tahun.


Tag: Yang di-Pertuan Agong, Kemangkatan, Solat Jenazah, Sultah Haji Ahmad Shah, Istana Sultan Abu Bakar, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta in Billah, Makam



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.