Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan terutamanya yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedudukan islam sebagai agama persekutuan.

Bagaimanapun, titah Baginda, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Tindakan tegas hendaklah diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

“Beta percaya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami dengan sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Islam bukan sekadar sebuah agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia merupakan cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan titah diraja selepas merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Parlimen Ke-14 pada Isnin.

Ini merupakan ucapan sulung baginda sejak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan tahun ini.

Baginda turut menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan-lil-alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia.

Ia seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama-agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan semua.

Menyentuh berkenaan pengaruh media, agensi-agensi penguat kuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang.

“Terutama penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Sungguhpun kerajaan Beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat,” titahnya.