Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disifatkan seorang pelajar yang tidak suka mengadu dan sedia menerima setiap hukuman oleh guru semasa di sekolah.

Berkongsi keperibadian baginda, bekas jurulatih hoki dan guru Matematik, Arunandy Subramaniam berkata beliau sangat mengagumi sikap Al-Sultan Abdullah yang sentiasa merendah diri dan tidak pernah membezakan latar belakang.

Arunandy pernah mengajar Al-Sultan Abdullah ketika baginda menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas yang dahulunya dikenali Sekolah Menengah Saint Thomas, Kuantan, Pahang pada 1970 hingga 1974.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru tuisyen baginda di Istana Teluk Sisih pada tahun sama.

"Dengan Agong ini, sebab saya suka karakter, Agong ini memang unik. Agong ini menganggap semua orang adalah sama.

"Baginda sentiasa bermesra dengan sesiapa dan hormat kita sebagai guru. Orangnya juga sangat simple. Itu sebab ia sangat unik dengan Agong ini. Agong memang seperti orang biasa," katanya kepada Astro AWANI melalui Buletin AWANI Khas pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah juga disifatkan sebagai seorang peminat semua sukan terutama bola sepak sehinggakan baginda membawa sendiri bola ke sekolah setiap hari.

"Setiap hari baginda bawa bola ke sekolah. Memang baginda mahir dalam bola sepak dan hoki. Namun semasa di sekolah, baginda terpaksa pilih antara hoki dengan bola sepak. Jadi bagi main bola sepak untuk Pahang semasa MSSN," ujar beliau lagi.

Arunandy berkata, sehingga kini, Al-Sultan Abdullah masih mengingatinya dan keperibadiannya yang terpuji tidak pernah berubah sejak dari dulu lagi.

"Mula-mula saya kenal baginda, saya ragu-ragu juga sebab baginda kerabat raja. Namun saya jadi berani sebab sikap dia. Lepas ajar baginda semasa tuisyen, baginda ajak main ping pong. Malah, baginda juga selalu ajak saya kalau mahu tengok wayang.

"Agong selalu juga WhatsApp saya. Hubungan kami masih kekal sehingga sekarang," kata Arunandy.