Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khairul Anuar Baharom atau dikenali 'Ah Chong' dan seorang bookie dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini berhubung isu mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Khairul Anuar, 43, dan G. Prem Kumar, 49, yang juga merupakan seorang jurulatih sebuah pasukan kelab bola sepak bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersama yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menawarkan suapan RM10,000 kepada pemain dan penjaga gawang MIFA sebagai dorongan untuk mengatur perlawanan antara (MISC-MIFA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang berlangsung 7 April lalu supaya (MISC-MIFA) tewas 0-2 kepada PKNP.

Kesalahan itu dilakukan mereka sekitar 9 hingga 10 malam 27 Mac 2017 lalu di Jalan Andalas 1, Senawang Light Industry Area, Seremban Negeri Sembilan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurdiyanah Mohd Rawi mencadangkan kepada mahkamah untuk memberikan jaminan RM40,000 kepada setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan memohon supaya pasport perjalanan mereka diserah kepada mahkamah.

Bagaimanapun Ah Chong yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan G. Prem Kumar yang diwakili Datuk Geehah Ram Vincent memohon mahkamah untuk meringankan jumlah jaminan memandangkan anak guam mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Fathiyah Idris kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM10,000 bagi kedua -dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh turut diperintah untuk melapor diri setiap bulan pada setiap Isnin minggu pertama di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Astro WANI melaporkan, Khairul Anuar yang sebelum ini pernah bermain dengan pasukan Selangor dan Negeri Sembilan disiasat berhubung dakwaan mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan pasukan Malaysian Indian Sports Council-Malaysia Indian Football Association (MISC-MIFA).

SPRM turut menahan bookie terbabit pada 5 April lalu selepas didakwa menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab itu untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana musim ini.