Beberapa ahli keluarga penumpang serta anak kapal MH17 meminta orang ramai dan juga pihak media memberikan mereka ruang secukupnya untuk bertenang dan kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Menurut seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, kehilangan orang tersayang ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri sememangnya memberikan kesan mendalam buat ahli keluarga mangsa.

Penulis yang sepanjang hari berada di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hotel berhampiran sendiri tangisan ahli keluarga mangsa nahas MH17 yang setia menunggu perkhabaran terkini menganai insiden berkenaan.

Menambah kerumitan apabila terdapat beberapa kenalan serta ahli keluarga jauh yang tiba untuk menunjukkan solidariti sehingga urusan berkaitan terganggu.

Tidak kurang dengan itu, ahli keluarga turut terganggu dengan panggilan dari orang yang tidak dikenali sejak mula insiden itu berlaku.

Bagi mereka, tidak salah untuk membantu. Akan tetapi mereka perlukan ruang bertenang memandangkan isu ini masih baru dan mereka memerlukan informasi rasmi berkaitan perkembangan terbaru siastan tragedi berkenaan.

Dalam pada itu, Bahagian Pengurusan Krisis Malaysia Airline kali ini memberi perhatian serius kepada akses orang ramai mahupun media yang ingin berjumpa kepada ahli keluarga.

Hanya ahli keluarga terdekat dan juga sahabat karib sahaja yang dibenarkan untuk berada di lokasi penempatan mangsa yang ditempatkan di hotel sekitar Putrajaya.

Tiada siapa dibenarkan memasuki kawasan lobi hotel tanpa kebenaran khas dari pihak keselamatan yang ditugaskan di sana.

Masuk hari ke-6 tragedi MH17, emosi ahli keluarga mangsa disifatkan mulai pulih sedikit demi sedikit.

Namun, kerisauan berkaitan urusan jenazah mangsa yang merunsingkan mereka terubat dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin yang menyatakan sudah mencapai persetujuan dengan puak pemisah pro-Rusia terhadap status situasi di lokasi insiden.

Dalam hal berkaitan, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma kepada ahli keluarga mangsa yang memerlukan dan mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi secara terus petugas Malaysia Airline.

Mungkin kata-kata Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyifatkan bantuan itu tidak tertakluk kepada keluarga mangsa di dalam negara membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan tahap psikologi keluarga mangsa yang bercelaru selama ini kembali tenang.