Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengesahkan seorang ahli lembaga bebas suruhanjaya itu positif COVID-19.

Menurut kenyataan SC, individu itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"SC bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan untuk melaksanakan semua langkah yang perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja, termasuk mengenal pasti mereka yang merupakan kontak rapat individu terbabit," menurut kenyataan itu.

BACA: COVID-19: Sembilan lagi kes direkodkan, jumlah terkini discaj 32

BACA: Seorang ahli tabligh dari Tawau disahkan positif COVID-19

Pejabat SC akan ditutup dan semua pekerja akan beroperasi dari rumah mulai esok bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan di premis itu sebelum dibuka semula pada 16 Mac.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa SC mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi pekerja dan meminimumkan penyebaran virus tersebut.

"Ia termasuk operasi secara berpasukan untuk mengurangkan bilangan pekerja di satu-satu lokasi, tapisan kesihatan kepada pengunjung, kuarantin kepada pekerja yang merupakan kontak rapat kes positif COVID-19 dan meningkatkan sanitasi harian di pejabat," katanya.

-- BERNAMA