Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Stephen Wong Tien Fatt mengingatkan Anggota Majlis Perbandaran Sandakan supaya menghindari mentaliti mengejar projek kerana ia bukan satu amalan yang baik.

Menurut beliau tumpuan harus diberikan dalam membantu pelaksanaan pembangunan daerah ini dan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Katanya pada masa kini, daerah ini menghadapi pelbagai cabaran seperti ekonomi merosot, ancaman keselamatan dan masalah sampah-sarap.

Justeru, beliau berharap di bawah pentadbiran kerajaan baharu serta di bawah pimpinan Presiden MPS yang baharu Datuk Peter Hii Chang Lik akan membawa perubahan kepada daerah ini untuk manfaat rakyat.

Antara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh MPS adalah mengecat semula semua bangunan lama dan meningkatkan kerja-kerja pembersihan, katanya pada Majlis Angkat Sumpah 23 Ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini, hari ini.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata jawatan anggota majlis perbandaran merupakan satu amanah yang perlu digalas dalam memastikan apa jua perancangan dan aspirasi kerajaan masa kini dapat dilaksanakan dengan telus serta efisyen.

Katanya sebagai barisan hadapan dalam majlis perbandaran, anggota majlis perlu memahami peranan dan fungsi selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti awam.

"Gejala rasuah harus dihindari dan dibanteras agar perkhidmatan yang lebih baik dan telus dapat diberikan kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Hii dalam ucapannya berkata pelantikan sebagai anggota majlis MPS bukan setakat gelaran semata-mata tetapi merupakan tanggungjawab penting dalam proses membuat keputusan untuk kebaikan penduduk bandar Sandakan.

Katanya ini memerlukan anggota majlis yang aktif dalam mesyuarat untuk kemajuan daerah ini.

-- BERNAMA