Seorang pemimpin UMNO dilaporkan positif COVID-19 selepas berkempen di kawasan Parlimen Sipitang.

Memetik laporan sebuah portal tempatan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kini sedang menjalani kuarantin wajib bagi mendapatkan rawatan susulan.

Laporan yang memetik sumber itu memaklumkan beliau telah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Setakat ini, keadaan masin terkawal dan beliau telah dimasukkan ke hospital sebentar tadi bagi dikurantinkan bagi mendapatkan rawatan,” kata sumber itu ringkas.

Sumber turut menjelaskan semua kontak rapat pemimpin UMNO itu juga telah diminta untuk melakukan ujian swab bagi mengelakkan sebarang penularan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun berkata tiada laporan rasmi yang diterima setakat ini.

Namun tegas beliau, jika ia benar dan didapati positif, individu itu perlu dikuarantin di Sabah sehingga pulih sepenuhnya.

“Saya belum dapat laporan lagi mengenai hal itu. Jika ada, perlu dirawat sehingga pulih sebelum pulang ke Semenanjung.

“Sebab itu saya sentiasa pesan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri turut menegaskan Jawatan Kuasa Kabinet akan membincangkan isu keselamatan dan kesihatan di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Selasa depan.