Pendirian MCA untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan berikutan reputasi kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak berhenti di situ.

Parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) harus meminta semua ahli parlimen yang terpilih untuk meletak jawatan.

Ini merupakan kenyataan serius oleh penganalisis politik Datuk Dr Denison Jayasooria yang berkata MCA tidak seharusnya menyalahkan kaum Cina.

MCA hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN selepas bertanding dalam 37 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN. Keputusan ini adalah lebih teruk dari 2008, apabila parti tersebut memenangi 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN daripada 40 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN yang dipertandingkan.

"Untuk menarik diri daripada memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan atau kabinet adalah kurang bertanggungjawab, jika anda benar-benar mahu melakukannya anda perlu meletakkan jawatan ahli parlimen juga," kata Denison yang merupakan felo di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Untuk tidak memegang jawatan kerajaan sama seperti menghukum masyarakat Cina. Ini adalah politik merajuk. Anda tidak seharusnya mengecewakan mereka yang masih mempunyai keyakinan dan mengundi ahli parlimen anda," kata beliau.

Denison berkata pendirian MCA membahagikan rakyat merupakan politik yang tidak baik.

Beliau juga berkata, Presiden MCA Dr Chua Soi Lek perlu meletakkan jawatan serta-merta dan bukannya mengumumkan untuk tidak menyambung satu penggal lagi sebagai ketua parti.

Jika pemimpin MCA berasa mereka telah hilang kepercayaan komuniti, mereka seharusnya meletak jawatan. Jika mereka rasa tak berguna, MCA juga boleh ditutup dan biarkan Umno yang membela kaum Cina," menurut beliau.

Denison berkata MCA seharusnya membina semula parti atau BN boleh mula mengundang ahli akademik, tokoh perniagaan atau pemimpin masyarakat untuk memainkan peranan sewajarnya dalam MCA.

"Kegagalan merupakan batu loncatan kejayaan. Terutamanya dalam politik di mana anda boleh bangkit semula. Mungkin MCA boleh mendapat bantuan dari sektor swasta. Lim Kit Siang sebagai contoh kalah pada tahun 1999 namun hari ini makin menuju ke puncak," jelas beliau.

Denison memberitahu MCA dan semua parti politik patut memberi laluan kepada pemimpin muda untuk memimpin.

Sebelum ini MCA berkata tidak akan mengambil tempat dalam kerajaan persekutuan atau negeri jika prestasi lebih buruk berbanding 2008 seperti yang diputuskan dalam mesyuarat luar biasa tahun lepas.