Ahli parlimen pembangkang akan mengadakan satu pertemuan di parlimen Selasa ini bagi membincangkan masa depan negara, susulan dakwaan terbaru terhadap perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat itu dipanggil oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, atas permintaan ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Wan Azizah dan Kit Siang dalam dua kenyataan berasingan menjelaskan jemputan itu turut dipanjangkan kepada anggota parlimen Barisan Nasional dan anggota pertubuhan bukan kerajaan, NGO yang bimbang dengan dakwaan itu.

Menurut Kit Siang, beliau turut menjemput bekas Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu ke pertemuan itu.

Kit Siang memberitahu, pertemuan akan mempertimbangkan kesan, implikasi dan masa depan Malaysia susulan dakwaan Wall Street Journal dan pengesahan peguam negara berkaitan kewujudan dokumen dari pasukan petugas khas mengenai dakwaan itu.