Ahli Parlimen pembangkang tidak akan dihalang untuk melawat sekolah selagi mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Bagaimanapun menurutnya, wakil rakyat pembangkang perlu menulis surat permohonan untuk mendapatkan kelulusan dan mematuhi peraturan seperti tidak berkempen dan membawa bendera parti.

Beliau berkata ketika ini Pas telah menghantar senarai wakil rakyat mereka yang ingin datang ke sekolah, dan permohonan itu telah diluluskan.

“Kita tak larang mana-mana wakil rakyat pembangkang nak masuk kawasan sekolah... sekolah untuk mereka bagi sumbangan ke, lawatan ke.

“Cuma ada prosedur sebab kita ada surat pekeliling dan kita akan ajukan kepada Jabatan Pendidikan untuk permohonan itu diluluskan.

“Dulu semasa Kerajaan Barisan Nasional wakil rakyat pembangkang dilarang masuk, tapi kini sebab kini zaman Malaysia Baharu jadi kita benarkan, asalkan mereka kemukakan permohonan,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Sebelum ini Maszlee mencetuskan kontroversi gara-gara kenyataannya yang tidak membenarkan ahli parlimen pembangkang memasuki ke sekolah.

Kenyataannya itu dikritik bukan saja ahli parlimen pembangkang bahkan daripada pihak kerajaan.