Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menetapkan, ahli Parlimen, sebilangan pegawai kerajaan serta mereka yang bertugas dalam sektor perkhidmatan penting dikecualikan daripada menjalani proses kuarantin setibanya mereka di negeri itu.

Namun mereka tidak terkecuali daripada menjalani saringan COVID-19.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.

“JPBNS mempunyai prosedur di mana beberapa perkhidmatan dianggap sebagai perkhidmatan penting dikecualikan daripada menjalani proses kuarantin.

“Sebagai contoh beberapa menteri dari negeri ini yang bertugas di Kuala Lumpur dan kembali ke Sarawak untuk menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen,” kata Uggah.

Menerusi sidang media sama, Uggah turut menjelaskan bahawa JPBNS sedang meneliti pandangan daripada pakar sekiranya berlaku perubahan protokol di pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pengurusan pesakit COVID-19.

Ia susulan laporan garis panduan baru dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membenarkan pesakit COVID-19 dibenarkan discaj selepas menerima rawatan selama 14 hari.

“Kita telah melakukan perbincangan yang panjang mengenai perkara ini pagi ini semasa mesyuarat JPBNS kerana keadaan di Sarawak adalah sedikit berbeza.

“Terdapat pesakit yang berasal dari pedalaman Sarawak, kawasan pesisir dan sebagainya jadi kami menyerahkan keputusan itu kepada doktor pakar bagi membuat penilaian,” ujarnya.