Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' terselamat dari maut selepas kenderaan yang dinaiki ditembak dua lelaki bermotosikal di Bulatan Loke Yew, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 57 tahun yang menaiki kenderaan Toyota Vellfire ketika itu dalam perjalanan dari Kajang menuju ke ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad, bagaimanapun berkata mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa hanya cedera ringan akibat terkena serpihan cermin yang pecah, bukannya disebabkan oleh tembakan yang dilepaskan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Zainuddin, dua lelaki berkenaan memakai sarung muka dan dipercayai melarikan diri menghala ke Jalan Hang Tuah.

"Kita sedang menyiasat motif sebenar kejadian itu," katanya.

Zainuddin berkata pemeriksaan ke atas kenderaan terlibat mendapati terdapat lebih lapan kesan tembakan yang mengenai bumbung dan cermin sebelah penumpang kenderaan terbabit.

Sebaik menyedari kenderaannya tembakan, pemandu 'Datuk' itu kemudiannya membawa kenderaannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.