Seorang ahli politik Johor dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, pada tahun lalu.

Datuk Mohamed Mustafa Abdul Kadir, 57, mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Dia dituduh memasukkan syabu ke dalam badan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pada jam 6 petang, 1 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa mengikut seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen 15(1) (b) dibaca bersama seksyen 38b akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, selain perintah pengawasan selama dua tahun atau tidak lebih tiga tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban mengemukakan jaminan RM4,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Salmi Hamdan Sabran merayu jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.