Penolong Naib Canselor, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dilantik sebagai Naib Canselor universiti itu menggantikan Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Menerusi kenyataan hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pelantikan Ahmad Bashawir sebagai naib canselor kelapan itu berkuatkuasa 26 Ogos ini.

"Saya percaya berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki Prof Dr Ahmad Bashawir, beliau akan menggalas tanggungjawab ini dengan berkesan dan berupaya meningkatkan kecekapan dan keberkesanan jentera UUM ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Maszlee turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Mustafa atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang menjawat jawatan itu sejak Jun 2010.

Ahmad Bashawir mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Ottawa University, Sarjana Pengurusan Kewangan dari University of Hull dan Doktor Falsafah dalam bidang Perdagangan dari Murdoch University.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Dekan Sekolah Siswazah, Timbalan Dekan UUM serta Profesor Pelawat di Universitas Bakrie, Jakarta selama setahun.

--BERNAMA