Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Zainal Azman Abu Seman yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Putrajaya mulai 1 Disember lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ahmad Suaidi, 49, memulakan tugas barunya hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sebelum ini, Ahmad Suaidi telah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Ipoh mulai 1 Julai lalu.

Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 15 Januari 1996.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.

Ahmad Suaidi mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Informasi Global dan Telekomunikasi dari Universiti Waseda, Jepun dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).