Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas satu pertuduhan tambahan melakukan pecah amanah membabitkan wang RM10 juta.

Kesalahan membabitkan wang milik Yayasan Akalbudi itu didakwa dilakukan bekas timbalan perdana menteri itu tiga tahun lalu pada Disember 2015.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Dengan perkembangan terbaru itu, Ahmad Zahid kini berdepan dengan keseluruhan 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada 19 Okt lalu, Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Mahkamah membenarkan Ahmad Zahid, 65 tahun, dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bernama melaporkan, mengikut pertuduhan tambahan itu, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang ejen, iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi, yang telah diamanahkan dengan harta iaitu wang sejumlah RM10 juta milik Yayasan Akalbudi.

Dia didakwa melakukan pecah amanah wang itu dengan memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, No. 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, pada 8 Dis 2015.

Dakwaan dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak bercadang menambah wang jaminan dan bersedia mengguna pakai jaminan terdahulu yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid pada 19 Okt.

Peguam beliau, Hisyam Teh Poh Teik, tidak mengemukakan sebarang bantahan dan mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin.

Terdahulu, pihak pendakwaan meminda 10 pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Ahmad Zahid dengan memperincikan butiran setiap pertuduhan dan memasukkan tujuan wang pecah amanah itu digunakan.

Pertuduhan tersebut kemudian dibacakan semula dan Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu, lapor Bernama.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama sehingga ke-10, beliau, juga atas kapasiti sebagai ejen yayasan itu, didakwa melakukan pecah amanah setelah diamanahkan dengan harta iaitu wang RM20,833,733.69 milik yayasan.

Beliau didakwa membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, pembayaran polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman, pembayaran kepada syarikat konsultan dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di bank sama antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun tiada sebarang pindaan dibuat terhadap lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi beliau pada 19 Okt lepas.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa secara rasuah menerima suapan daripada tiga syarikat berbeza iaitu Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant Services, Syarikat Data Sonic Group Berhad dan Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk dirinya, seorang Pegawai Badan Awam, iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagi membantu Syarikat Mastoro, Syarikat Data Sonic dan Syarikat Profound mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid juga berhadapan 27 pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram antara 2016 sehingga 2018 mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).

Ia membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Feb 2019 untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Raja Rozela turut memaklumkan bahawa 99 peratus dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan dan bakinya akan diserahkan secepat mungkin.

Peguam Hisyam mengesahkan telah menerima dokumen itu serta memberitahu pihaknya perlu meneliti dokumen tersebut sebelum membuat permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.