Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan dana tambahan sebanyak RM3 juta kepada Institusi Pendidikan Sri Murugan Centre (SMC) untuk menggalakkan kecemerlangan akademik komuniti pelajar India di seluruh negara.

Menurutnya, dana tambahan itu akan disalurkan kepada pusat pendidikan berkenaan sekiranya SMC berjaya membuktikan program kecemerlangan akademik mereka mencapai sasaran.

"(Saya akan tambah), jika institusi itu berjaya membuktikan kecemerlangan mereka dalam setiap peperiksaan awam.

"Saya amat berbangga dengan peranan SMC, saya benar-benar tersentuh, belanjakanlah tiga juta (sebelum ini) baik-baik, kalau semuanya dapat keputusan baik-baik, saya akan tambah tiga juta lagi, ini janji saya kepada SMC," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Vetri 2018 yang dihadiri 160 murid Tahun Enam SJK (T) sekitar Parlimen Bagan Datuk, di Dewan Sanmarka Orang India, dekat sini pada petang Ahad.

Sebelum ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta pada Mei lepas khusus untuk memberikan motivasi kepada program kecemerlangan akademik pelajar komuniti India di seluruh negara.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata beliau amat mengagumi nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kesemua tenaga pendidik dan kakitangan di pusat pendidikan SMC tersebut.

"Saya mahu semua pelajar menghormati guru-guru kerana semua bangsa dan agama mengajar kita menghormati guru.

"Saya buta warna dalam bidang pendidikan. Tiada elemen politik dalam pendidikan," katanya lagi.

SMC ditubuhkan pada tahun 1982 oleh Tan Sri Dr M. Thambirajah bersama 48 pelajar terawal Persatuan Bahasa Tamil dan pensyarah Universiti Malaya untuk persediaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).