Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengaku tidak bersalah atas tujuh tuduhan menerima suapan berjumlah SGD4.24 juta (RM12.91 juta) membabitkan Sistem Visa Luar Negara.

Sebelum itu beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pagi tadi bagi menghadiri pertuduhan baharu di bawah Akta SPRM, lapor Bernama.

Suapan itu didakwa diterima Ahmad Zahid, 66, diterima daripada sebuah syarikat Pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN), Ultra Kirana Sdn Bhd untuk melanjutkan kontrak syarikat berkenaan dua tahun lalu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dekat sini antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Ahmad Zahid diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.