Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah idea pentadbiran BN.

Menurut beliau, tiada sebarang cadangan berhubung pelaksanaan PSS ketika beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Tidak benar (PSS cadangan kerajaan BN) kerana saya mengetahui kerana saya menjadi pengerusi yang dilantik oleh Jemaah Menteri bersama dengan Ketua Menteri (Sabah) ketika itu, Tan Sri Musa Aman.

“Kami Jemaah Menteri ketika itu memutuskan bahawa pengerusi teknikal ialah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika itu) dan tidak ada satu pun cadangan daripada RCI ataupun jawatan kuasa teknikal yang mencadangkan supaya PSS itu diwujudkan,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Pantai Kenangan, di sini, pada Khamis.

BACA: KDN perkenal Pas Sementara Sabah ganti tiga dokumen warga asing

Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH) - Warisan, Datuk Karim Bujang mendakwa idea PSS berasal daripada pentadbiran terdahulu.

Justeru, beliau menasihatkan agar segelintir pihak tidak mempolitikkan isu pelaksanaan PSS.

Sementara itu, memetik laporan media pada Disember 2014 memaklumkan Ahmad Zahid, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri mengumumkan lima terma rujukan bagi Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Kerja yang disyorkan dalam RCI.

Ia antaranya meneliti maklumbalas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah melalui forum serta konsultasi berhubung pengurusan warga asing di Sabah; mengkaji pelaksanaan pengurusan pendatang asing di Sabah; dan mengemukakan syor ke atas kedudukan pendatang asing mengikut peraturan dan undang-undang.