Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Aidiladha dalam suasana penuh aman dan tenteram meskipun baru melalui peralihan kerajaan selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Hari raya korban yang memuliakan kesediaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya kepada Allah SWT selain menandakan sempurnanya ibadah haji disambut dengan penuh kesederhanaan, dilengkapi dengan rasa syukur dan semangat pengorbanan.

Malah, cuaca yang cerah di kebanyakan negeri turut membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dalam keadaan selesa diikuti ibadah korban yang dilaksanakan secara bergotong royong sama ada di peringkat masjid, kampung mahupun daerah.

Di KELANTAN, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan rakyat di Masjid Al-Ismaili di Tumpat dan baginda diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Sementara di Kota Bharu, Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan untuk solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Muhammadi sambil diiringi Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri.


Di KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara bersama-sama lebih 10,000 umat Islam.

Beliau diiringi dua anaknya iaitu Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz disambut Imam Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Syaikh Ismail dalam khutbah Aidiladha bertajuk 'Aidiladha: Manifestasi Penyerahan Erti Sebuah Pengorbanan' menyeru umat Islam bertawakal kepada Allah SWT dan menjadi masyarakat berkasih sayang.

"Orang yang beriman pasti akan diuji oleh Allah dalam bentuk musibah dan nikmat bagi mengukur kebenaran dan kekuatan iman maka dengan itu umat Islam harus berserah dan bergantung hanya kepada Allah yang menetapkan segala ketentuan dan sentiasa berusaha membangun dan memajukan diri," katanya.


Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut bersama-sama penduduk dalam kawasan Parlimen beliau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al-Falah, Taman Cempaka, Pandan, dekat sini.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama umat Islam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong.

Turut mengiringi baginda, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Baginda dan Tengku Permaisuri kemudian turut berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Di KEDAH, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim turut berkenan berangkat ke Masjid Zahir bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama kira-kira 1,000 umat Islam.


Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Adly Zahari menyertai lebih kurang 5,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Al Azim, Datuk Mohammad Hashim

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof dan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md. Akin. Selepas solat sunat Aidiladha, Mohd Khalil dan tetamu mengambil kesempatan bersalaman dengan jemaah di masjid berkenaan.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti di Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Baginda yang disertai kedua-dua putera iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-'Abidin turut berangkat ke acara ibadah korban yang melibatkan sejumlah 19 ekor ternakan sebelum berangkat ke Makam Diraja untuk majlis bacaan tahlil yang dipimpin Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Di PERAK, Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II, Jalan Panglima Bukit Gantang, Ipoh dengan diiringi Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dan turut meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah.

Sementara itu, pada kira-kira 1.30 tengah hari nanti, Ahmad Faizal akan mengadakan Korban Perdana Dewan Undangan Negeri Chenderiang di Masjid Al-Mukmin Kampung Batu 3, Tapah.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Pulau Pinang. Masjid tersebut turut mengadakan ibadah korban yang melibatkan 10 ekor lembu dan 10 ekor kambing sumbangan jemaah.

Di JOHOR BAHRU, Masjid Pasir Pelangi menjadi tumpuan lebih 1,000 umat Islam untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan anggota keluarga baginda yang lain termasuk Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kemeriahan Aidiladha turut dirasai di Masjid India, Johor Bahru apabila sebanyak 500 bungkusan juadah makanan diagihkan kepada pekerja asing selepas mereka selesai menunaikan solat Aidiladha.

Sumbangan daripada Sultan Ibrahim itu adalah sebagai menghargai jasa pekerja asing dan mengubati kesedihan serta kerinduan mereka kerana tidak berpeluang untuk meraikan hari yang mulia ini bersama-sama keluarga tercinta. Sumbangan tersebut diagihkan oleh pegawai dan sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia Johor.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyertai lebih 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan Indera Mahkota di Kuantan.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pekan Semporna berkata pengorbanan seorang pemimpin itu hendaklah dengan niat baik iaitu untuk mendapat keredaan Allah serta diberi petunjuk bagi mentadbir negeri serta membantu rakyat.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu yang diimamkan oleh Mufti Terengganu Datuk Dr Zulkifly Muda.

Ketibaan Sultan Mizan diiringi dua anakanda baginda, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az di masjid itu disambut Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A Rahman Yahya.


-- BERNAMA