Sejumlah 50,000 penumpang sehari dijangka menggunakan perkhidmatan AirAsia sepanjang musim perayaan ini terutama sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata demi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat saban tahun, pihaknya turut menambah jumlah penerbangan terutama penerbangan domestik.

"Jadi tahun ini, kita jangkakan lebih kurang 50,000 penumpang akan keluar masuk daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).

"Untuk memastikan operasi berjalan lancar, kami turut menambah kakitangan di mana 380 kakitangan lapangan terbang (ground staff) akan bertugas sepanjang musim perayaan.

"Ada yang dapat raya, ada yang tidak, tapi itu tugas kita. Selain itu, kita ada 1,000 juruterbang dan 2,500 krew kabin yang akan berusaha untuk memberi kesenangan kepada para penumpang kami," katanya kepada Astro AWANI.

Ujarnya, pertambahan jumlah penumpang dan kakitangan itu adalah seiring pertambahan 127,000 kerusi melalui 794 penerbangan.

"Kita sebelum ini ada tetapkan harga untuk penerbangan lewat malam di mana harga promosi yang ditawarkan agak rendah seperti Semenanjung Malaysia berharga RM99, ke Sabah RM199 dan ke Sarawak RM149 untuk perjalanan sehala.

"Selain itu, sepanjang tahun kita memang ada promosi seperti promosi bulanan atau suku tahun yang turut merangkumi waktu-waktu perayaan seperti kali ini juga. Jadi, kalau seseorang itu menempah awal dan ketika waktu promosi, insyaAllah dia akan dapat harga yang terbaik," jelasnya.

Menurut Riad, antara lokasi domestik paling popular paling popular sempena musim perayaan adalah seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Alor Setar.

Malah katanya, sambutan pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang seiring musim cuti sekolah turut memperlihatkan permintaan tinggi ke beberapa destinasi di Sabah dan Sarawak ke beberapa lokasi antarabangsa seperti Bali, Singapura dan Chennai.

Sempena musim perayaan ini, beliau turut menasihati para penumpang untuk tiba awal di lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan perjalanan mereka.