Bersempena Aidilfitri yang bakal tiba, had laju jalan Persekutuan diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j mulai 18 Jun hingga 2 Julai, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bagi jalan negeri, katanya kementerian meminta kerjasama pihak berkuasa negeri untuk menurunkan had laju daripada 80km/j kepada 70km/j.

"Selain itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan bagi jalan Persekutuan dan jalan Negeri serta lebuh raya akan dihentikan mulai 18 Jun hingga 2 Julai semasa musim perayaan bagi memastikan kelancaran trafik. Namun, kerja-kerja kecemasan dan kritikal adalah dikecualikan," katanya semasa berucap merasmikan program Coffee Break sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Zohari Akob, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Datuk Abdul Karim Mohd Tahir.

Fadillah berkata JKR dan LLM juga menubuhkan pasukan peronda bagi memantau kemalangan dan sebarang kerosakan jalan selain memastikan kerja-kerja kecemasan dilakukan dengan segera tanpa gangguan lalu lintas di jalan-jalan Persekutuan.

Dalam sidang media kemudian, Fadillah berkata tahun ini, sebanyak 15 kawasan persimpangan di seluruh negara dikenal pasti untuk ditambah baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Pada masa sama, kementerian dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Dasar Pembinaan Jalan Raya dan Lebuh Raya bagi mencapai objektif peningkatan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

Lima belas persimpangan itu ialah satu masing-masing di Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Selangor, Terengganu, Pahang, Kelantan, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Labuan serta dua masing-masing di Kedah dan Sabah selain tiga di Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 21 projek jalan melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada diluluskan untuk dilaksanakan tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM4.896 bilion.

Dalam pada itu, Fadillah menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

-- BERNAMA