Aidilfitri seperti tidak membawa erti yang besar buat keluarga daif ini kerana rumah mereka yang kecil tidak mampu menerima kunjungan rakan dan saudara.

Mohd Nizam Mohd Razli, 43, berkata, rumah tanpa bilik dan tandas di Kampung Bunut Rendang, Gaal, itu terlalu peribadi di mana keluarganya makan dan tidur di tempat yang sama.

“Di ruang inilah kami tidur dan di sini juga kami makan. Lebih sedih apabila rumah ini tak ada tandas, saya tak mampu membinanya.

“Kalau hendak gunakan tandas, kena ke rumah ibu isteri saya yang terletak bersebelahan. Ada tanah untuk tapak rumah tapi saya tak mampu besarkan rumah ini,” katanya.

Menurutnya, isteri tersayang, Halimatul Sabariah Ghazali, 39, tidak boleh bekerja kerana penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu semakin serius.

“Saya hanya bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan tak menentu. Sekarang tak ramai yang nak naik teksi, jadi pendapatan saya pun kurang,” katanya.

Anak pasangan itu, Che Amirul Asyraf, 17, kini belajar di Kolej Vokasional Pasir Puteh sementara Che Nur Amira Fitrina, 10, belajar di Sekolah Kebangsaan Gaal.

Mohd Nizam berkata, lantai konkrit rumahnya mula merekah dan bumbung bocor apabila hujan lebat sudah menjadi lumrah kepadanya.

“Saya dah tak tahu nak letak kain baju kat mana, semuanya berselerak kerana tidak ada ruang khas tetapi nak buat macam mana, ini saja yang saya ada.

“Saya berusaha untuk ubah nasib dengan berniaga di bazar Ramadan, tetapi tak dapat nak teruskan sebab tiada modal pusingan. Daripada berhutang lebih baik berhenti berniaga,” katanya.

Menurutnya, kos membina tandas dan membaiki bumbung serta dinding rumahnya mungkin tidak sampai RM10,000, namun permohonannya kepada beberapa pihak dipandang sepi.

“Saya tak tahu kenapa susah sangat saya nak dapatkan bantuan. Saya tengok orang lain mudah saja dapat,” katanya.