Hotel bajet di seluruh Malaysia sudah mula menerima tempahan bermula dari masa terdekat sehingga penghujung tahun.

Malah, tempahan untuk Hari Raya Aidiladha pun sudah mula diterima.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein berkata, mungkin kerana ramai tidak dapat pulang ke kampung pada Aidilfitri, mereka memilih untuk pulang pada Hari Raya Aidiladha pula.

“Setakat ini kita nampak untuk hotel bajet, tempahan masih lagi masuk dari sekarang hingga bulan Disember. Tempahan masih ada, ada yang memilih resort-resort dan di hotel di bandar pun ada.

“Saya rasa hotel di bandar ditempah untuk mereka yang bekerja, di resort pula untuk perjalanan yang mereka rancang untuk akhir tahun dan bulan September.

“Kita juga ada menerima tempahan untuk cuti raya haji di mana ramai yang ingin balik ke kampung sebab tak dapat balik masa Aidilfitri. Ada tempahan diterima untuk jangka masa itu,” kataya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, bagi memastikan industri perhotelan khususnya melibatkan hotel bajet mampu bangkit semula, mereka menyediakan pakej yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘berbaloi dengan harga’.

“Untuk hotel bajet, kami telah buat satu pakej yang digabungkan dengan keadaan sekeliling di kawasan hotel tersebut seperti tempat menarik dan produk lain yang ada di situ.

“Dengan pakej value for money ini, untuk pelanggan kita berikan tempoh sahnya selama setahun. Bila ada tawaran sebegini, ini lebih kepada pakej berbaloi untuk pelancong kita,” ujarnya.

Jelasnya, dengan mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk dari aspek kebersihan dan keselamatan semua orang, Emmy Suraya optimis mereka sudah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong.

“Kami telah bersedia untuk terima pelanggan kerana hotel kami telah bersiap sedia dari segi kebersihan, keselamatan pelanggan kita.

“Kita harap dengan adanya jaminan yang kami beri, pelanggan kami akan berasa yakin dengan perkhidmatan yang kami berikan kepada pengunjung,” katanya.