Janji untuk memberi tangan palsu 3D kepada Ainaa Amanda Shahzali, 8, yang menjadi viral tahun lalu akibat diejek oleh rakan sekolah kerana tidak mempunyai tangan tetap akan dilunaskan.

Pereka tangan palsu 3D, Sujana Mohd Rejab berkata tidak timbul isu tidak menepati janji atau mengunakan kanak-kanak itu sebagai publisiti seperti yang dibangkitkan oleh keluarga Ainaa baru-baru ini di laman sosial Facebook.

Menurut beliau, pemberian tangan palsu itu merupakan projek peribadinya dan tidak melibatkan projek 20 tangan 3D yang dibuat bersama Kolej Komuniti Taiping.

Kata Sujana, pihaknya telah pun merancang untuk memulakan pembuatan tangan palsu 3D untuk Ainaa sebaik sahaja projek 20 tangan 3D itu selesai pada Oktober ini.


Jelas beliau lagi, salah faham itu timbul selepas terdapat beberapa pihak beranggapan Ainaa terdiri daripada 20 individu yang terpilih di dalam program berkenaan.

“Bagi saya itu saya anggap sebagai salah faham sahaja, jadi saya tidak menyimpan dendam.

“Ini adalah projek peribadi saya dan InsyaAllah Ainaa akan dapat tangan itu kerana kami sudah berjanji,” kata Sujana ketika ditemui pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran penyerahan tangan 3D pertama di Taiping pada Selasa.

Dalam majlis itu, Amirul Nur Rayyan Amirul Faiz, 6, dari Perai, Pulau Pinang menjadi kanak-kanak pertama menerima tangan palsu 3D itu.

Projek itu merupakan salah satu daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sujana bersama Kolej Komuniti Taiping.