Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti riadah di kawasan pantai di Selangor bermula Ahad ini sehingga 19 Okt berikutan fenomena air pasang besar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata dalam tempoh itu, paras air di sekitar daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap tertinggi iaitu di antara 5.6 hingga 5.7 meter.

"Saya menasihatkan supaya semua aktiviti pelancongan di tepi pantai dan laut ditunda sepanjang tempoh itu. Pelancong juga dinasihatkan supaya tidak ke kawasan pantai barat Selangor ketika fenomena air laut pasang besar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berkata pihaknya kini dalam keadaan persediaan tertinggi bagi menghadapi gelombang kedua fenomena itu.

Yang Dipertuanya Mohd Azhar Mohamed Ali berkata MDKL mempunyai Skuad Pantas dianggotai 18 anggota, yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu menjalankan operasi.

"Skuad ini turut dilengkapi beberapa jentera dan peralatan bagi memberikan khidmat dan bantuan menyelamat," katanya.

Mohd Azhar berkata paras air tertinggi di Kuala Langat dijangka setinggi 5.7 meter pada 6.35 pagi Isnin depan.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Kelanang dan Pantai Tanjung Sepat supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Jawatankuasa Bencana Selangor sebelum ini meramalkan paras air laut berada pada paras tertinggi di antara 16 hingga 19 Okt ini, yang menyebabkan beberapa kawasan di pesisir pantai berisiko banjir dan ditenggelami air. -Bernama