Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan keputusan untuk meneruskan atau sebaliknya program pemberian air di negeri itu mengikut kemampuan kewangan pada 2017.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata isu itu akan dibincangkan semula untuk memastikan peruntukan untuk program berkenaan dapat dimanfaatkan kepada golongan sasar.

"Kita akan beri kesedaran konserversi air dan tidak mahu ada pihak yang tidak memanfaatkan program ini.

"Ia akan memberi implikasi besar kepada kerajaan negeri. Bagaimanapun untuk tahun depan akan diteruskan tetapi tahun berikutnya...kita ikut kewangan kerajaan," katanya semasa sidang DUN Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini Azmin dilaporkan berkata, pihaknya mahu meneliti semula pemberian air percuma 20 meter padu sama ada program itu benar-benar menepati hasrat asal yang bertujuan membantu rakyat.

Jelasnya, kerajaan negeri menerima rungutan program yang menelan belanja RM120 juta setahun itu tidak dimanfaatkan sebilangan rakyat.

Dalam perkembangan berasingan Azmin menjelaskan kerajaan negeri tidak mempunyai keperluan untuk memberikan arahan supaya penggantiap paip lama dibuat memandangkan syarikat konsesi kini sudah dimiliki negeri selain Air Selangor mempunyai pelan perniagaan serta strategi sendiri.

"Air Selangor sedang meneliti jajaran dan kos penggantian paip yang akan dilakukan bagi mengurangkan air tidak berhasil (NRW) yang kini pada kadar 34 peratus.

"Di antara langkah-langkah yang dilakukan adalah mengurangkan NRW menerusi keperluan mengganti paip lama supaya kebocoran dapat dielakkan.

"Pengurusan baru sedang meneliti penggantian paip baru dengan kos yang bakal ditetapkan. Penjelasan yang diberikan sebelum ini, aset-aset air yang diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan diuruskan mereka sendiri sementara aset-aset air milik kerajaan negeri ditanggung Air Selangor," katanya.

Azmin berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin (DAP) mengenai proses pengambilahan Puncak Niaga dan SYABAS oleh Air Selangor.