Kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, UNISZA mendapati, air dari telaga zam-zam dan bijian habatus sauda mampu mengurangkan ketagihan dadah terutamanya mereka yang ketagihan dadah opiat.

Penyelidikan yang dijalankan ke atas 250 responden dalam kalangan penagih opiat di Penjara Marang, Terengganu mendapati, rata-rata mereka yang dirawat menggunakan kaedah ini menunjukkan kesan positif.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Pembangunan UNISZA, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, penyelidikan ini adalah sebahagian daripada inisiatif UNISZA untuk membangunkan Kaedah Rawatan Komprehensif bagi penagihan opiat.

Tambahnya, penggunaan air zam-zam dan habatus sauda boleh mengurangkan pengambilan metadon dalam kalangan penagih yang mampu memudaratkan mereka sekiranya (metadon) diambil secara berlebihan.

"Kaedah yang digunakan lebih kepada perawatan Islam dan dilakukan secara menyeluruh termasuklah di peringkat pemakanan, spiritual dan juga kaunseling.

"Modul Islamic Quality of Life (IQAL) yang kami serapkan ini akan digunakan sebagai komponen untuk penagih-penagih opiat di Terengganu dahulu sebelum digunakan di seluruh Malaysia" katanya ketika ditemui media selepas Seminar mengenai Hak dan Isu-isu Wanita dan Kanak-kanak di UNISZA Kampus Gong Badak.

Menurutnya lagi, penyelidikan ini dijalankan menggunakan geran berjumlah RM5 juta dengan kerjasama Universiti Malaya dan juga Penjara Marang.

Opiat merupakan jenis dadah yang dihasilkan daripada opium yang biasa digunakan penagih tempatan di Terengganu.