AirAsia, syarikat penerbangan kos rendah terbaik dunia, menjadi syarikat penerbangan pertama yang mendarat di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne - Avalon - pagi ini, melancarkan penerbangan antarabangsa pertama ke dan dari lapangan terbang kedua di barat daya Melbourne.

Dikendalikan oleh sekutu jarak jauh AirAsia, AirAsia X, Penerbangan D7218 mendarat di sini pada jam 8.20 pagi (waktu tempatan) dengan kadar muatan 80 peratus.

Ketua Pegawai Eskekutif (CEO) AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, pendaratan sulung AirAsia di Avalon memeterai perjanjian 10 tahun antara syarikat penerbangan berpangkalan di Asia Tenggara itu dengan Lapangan Terbang Avalon Melbourne, dengan kira-kira RM150 juta pelaburan daripada pengendali lapangan terbang serta kerajaan Australia dan Victoria bagi membangunkan kemudahan baharu yang terletak di Bandar Raya Geelong.

"Kemudahan ini hari ini menjadi antara hab antarabangsa paling penting untuk AirAsia terbang ke luar dari Asia Tenggara," katanya kepada media Malaysia pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski AM; CEO Kumpulan AirAsia X, Nadda Buranasiri; Pengerusi Eksekutif Linfox Airports, David Fox dan CEO Avalon Aiport, Justin Giddings.

Benyamin berkata, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk mengangkut 500,000 penumpang setahun dengan laluan ini.

" AirAsia akan mengendalikan sejumlah 28 penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Melbourne Avalon, selain menyasarkan meningkatkan muatan kami dari 80 peratus (di lapangan terbang Melbourne Tullamarine) kepada 85 peratus melalui lapangan terbang baharu ini tahun depan," tambahnya.

Sebelum ini, AirAsia terbang dari Kuala Lumpur ke Melbourne Tullamarine.

Katanya, perjanjian jangka panjang itu menyediakan kos operasi yang lebih rendah kepada AirAsia dan akan meningkatkan jumlah penumpang dan perolehan bukan aeronanutikal daripada lapangan terbang Avalon, juga peluang untuk jutaan penumpang terbang pada kadar yang dimampui.

"Tetamu AirAsia yang terbang ke Melbourne Avalon akan mendapat manfaat daripada rangkaian 'Kelebihan Avalon' termasuk kadar parkir yang murah, akses yang selesa ke pusat bandaraya Melbourne melalui SkyBus dan infrastruktur lapangan terbang baharu," tambahnya.

Benyamin berkata, syarikat penerbangan itu juga merancang untuk terbang ke Avalon dari Bangkok, Thailand, dan Bali, Indonesia, pada masa depan.

Bagi meraikannya, syarikat penerbangan itu melancarkan jualan alu-aluan ke Melbourne Avalon dengan kadar tambang bermula RM499 sehala antara Melbourne Avalon/Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur/Melbourne Avalon untuk penerbangan sehingga Mei 2019 (tempoh tempahan dari hari ini hingga 9 Disember).

Di Australia, AirAsia pada masa ini mengendalikan perkhidmatan antara Kuala Lumpur, Malaysia dan Perth, Sydney, Gold Coast juga sekarang, Melbourne Avalon. - BERNAMA