Malaysia bercadang menubuhkan sebuah Akademi Taekwondo yang pertama di Asia Tenggara berpusat di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, akademi berkenaan akan meningkatkan mutu sukan berprestij itu dan melatih lebih ramai bakat muda untuk ke Sukan Olimpik.

Najib berkata, Taekwondo sudah lama bertapak di negara ini dan lebih sinonim dengan Malaysia.

Malah, penubuhan akademi berkenaan menjadikan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mengangkat seni mempertahankan diri itu di rantau Asia Tenggara.

"Saya dengan bangga mengumumkan bahawa hubungan simbiotik antara Malaysia dan Persekutuan Taekwondo Dunia telah memutuskan cadangan untuk menubuhkan Akademi Taekwondo di Malaysia.

"Akademi pertama kali ditubuhkan di Asia Tenggara. Akademi akan meningkatkan kemahiran sukan dan prestasi bakat berteras dengan mata yang dilatih di Sukan Olimpik," katanya dalam ucaptama merasmikan Kejohanan Terbuka Malaysia Taekwondo Dunia di perkarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan sumbangan RM1 juta kepada Persatuan Taekwando Malaysia.

Perdana Menteri turut dianugerahkan tali pinggang Grand Master 8 Dan oleh Presiden Persekutuan Taekwondo Dunia, Dr Choue Chung Won.

Beliau dalam pada itu turut berharap semua atlet Taekwondo negara bersiap sedia bagi menghadapi Sukan Olimpik di Tokyo dan seterusnya berusaha memenangi pingat emas kategori itu nanti.