Peningkatan harga bahan mentah menyebabkan kalangan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan.

Tetapi tidak bagi seorang peniaga di Pasir Gudang yang menjual lauk makan tengah hari pada harga hanya RM1 setiap jenis.

Bagi Nur Nadia Nordin, idea menjual lauk dengan harga murah tercetus kerana dia sendiri pernah membeli lauk tengah hari pada harga mencapai RM50.

"Saya tahu betapa susahnya, saya sendiri beli enam pek nasi tengah hari sampai RM50 lebih. Saya fikir takkanlah nasi ayam dan sayur sampai RM7. Saya yang bekerja ni pun rasa membebankan.

“Jadi saya bincang dengan suami, boleh tak kita buat nasi bajet untuk kita dan pelanggan. Saya dah kira kos, kita boleh buat satu senduk ayam RM1, nasi sekali makan RM1, ikan RM2 seekor. Jadi kalau makan tu tak lebih RM5," kata Nur Nadia.

Mempunyai pengalaman tiga tahun dalam bidang masakan, Nur Nadia menyediakan 15 lauk pelbagai jenis.

Sementara itu, bagi pelanggan sikap berkongsi rezeki yang diamalkan peniaga terbabit dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumahnya.

"Memang sangat murahlah, kira dia share rezeki dengan kami ... keuntungan lebih pada kamilah. Mungkin kalau beli banyak boleh jual murah," kata pelanggan Aniza Hassim yang juga seorang pekerja swasta.

"Saya rasa memang sangat membantulah. Macam kami tinggal berdua saja, nak beli barang kat dapur agak membazir.

“Jadi kalau macam akak ni jual satu senduk singgit dan ikan RM2, kira sangat berpatutanlah," kata suri rumah Faizreen Abd Razak.

"Harga empat orang makan dalam RM16, tak sampai RM20, murahlah,” kata pekerja kilang Iskandar Aizat Mohd Syah.

Nur Nadia berniaga di Medan Selera Taman Kota Masai di Pasir Gudang.