Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, akhirnya pulang ke Sabah selepas beberapa bulan menerima rawatan di luar negara dan pusat perubatan di Semenanjung Malaysia.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz pada jam 10.30 pagi ini.

Musa akan menaiki pesawat peribadi dan dijangka tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Sumber memberitahu, Musa telah mendaftar keluar daripada sebuah pusat perubatan di Subang Jaya kira-kira jam 7 pagi tadi.

Pada 21 Ogos lalu, Musa tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya dengan menaiki pesawat Bombardier Learjet 45 dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura sebelum mendaftar masuk ke hospital itu sekitar jam 6.45 petang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali turut mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI.