Akibat dendam seorang lelaki warga Myanmar mati ditetak dengan dua bilah parang oleh rakan serumahnya di Taman Sintar, Nibong Tebal awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira- kira jam 2.20 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang tinggal di rumah teres dua tingkat itu ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, pemeriksaan pihak forensik mendapati terdapat kesan tetakan di seluruh anggota badan mangsa menyebabkannya mengalami luka parah dan meninggal dunia ditempat kejadian.

Polis menemui dua bilah parang di sebelah mangsa dan dipercayai senjata berkenaan digunakan dalam pergaduhan tersebut.

Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dan rakan senegaranya yang berpunca akibat dendam.

Ketika kejadian berlaku, adik lelaki mangsa yang turut tinggal di rumah berkenaan sedang tidur di tingkat atas rumah dan tidak menyedari kejadian yang menimpa abangnya itu.

Tetak

Susulan kejadian itu,polis menahan tiga lelaki warganegara Myanmar masing- masing berusia 20 dan 24 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan tersebut bagi membantu siasatan.

Katanya, dua suspek ditahan polis di pekan Nibong Tebal selepas dua jam kejadian berlaku, manakala seorang lagi ditahan di Hospital Pulau Pinang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh.