Penduduk di Kuala Tahan tidak pernah mempunyai masalah gangguan kualiti air sejak 30 tahun yang lalu.

Namun ia semua berubah pada 16 Mac tahun ini apabila air paip menjadi begitu keruh sehingga menyamai warna teh tarik.

Air paip yang menjadi kegunaan lebih 1,100 penduduk di Kuala Tahan itu mengalir dari sebuah empangan takungan air Sungai Tabung.

Kejadian yang mengejutkan penduduk, yang rata-rata merupakan pengusaha pelancongan dan pusat peranginan, menyebabkan mereka dan pelanggan mereka yang terdiri daripada pelancong asing, tidak mandi pada hari itu.

Malah, perusahaan yang menggunakan air dengan banyak seperti restoran terpaksa ditutup pada hari itu menyebabkan kerugian kepada kebanyakan penduduk tempatan.

Wakil penduduk dan ahli jawatankuasa badan bukan kerajaan, Bird Group, Wan Juhaizan Wan Putin, 42 tahun, berkata pada hari kejadian mereka telah memberitahu pegawai perhutanan daerah Jerantut yang kemudian mengaturkan sebuah ekspedisi ke kawasan tadahan air bagi menyiasat punca kejadian.

"Kami telah pergi ke kawasan empangan dan mata air sungai yang mengalir ke empangan tersebut. Kami mendapati bahawa air tersebut menjadi keruh kerana lumpur dari kawasan hutan yang lebin tinggi mengalir masum ke empangan tersebut.

"Lumpur tersebut terhasil dari aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan punca air dan telah mencemarkan sumber air yang digunakan penduduk terutamanya apabila hujan," katanya kepada Astro AWANI.

Wan Juhaizan berkata hasil siasatan, pihak jabatan perhutanan daerah, wakil syarikat kontraktor pembalakan terlibat dan penduduk telah mengadakan sebuah sesi dialog bagi membincangkan jalan penyelesaian masalah terbabit.

"Pihak penduduk mencadangkan supaya pembalakan dipindahkan atau dihentikan serta merta kerana kawasan pembalakan itu terlalu dengan sumber air dan risiko kejadian berulang amat tinggi.

"Sementara syarikat pembalakan itu mencadangkan supaya sumber air yang mengalir ke empangan kami dipindahkan ke kawasan lain.

"Pihak syarikat pembalakan dan wakil jabatan perhutanan masing-masing menolak cadangan kami dan cuma bersetuju untuk menjarakkan sedikit kawasan pembalakan dari sumber air penduduk," katanya.

Walaubagaimanapun, Wan Juhaizan berkata pembalakan di kawasan terbabit sepatutnya sudah lama diberhentikan kerana ia merumitkan usaha pengusaha tempatan untuk membangunkan Kuala Tahan menjadi sebuah destinasi pelancongan ekologi yang sempurna.

"Jika kita lihat pada 'National Ecotourism Plan', kawasan yang dibalak itu sepatutnya dibangunkan menjadi 'Hornbill Sanctuary' atau Pusat Pelindungan Burung Enggang di Taman Negara. Sebagai penduduk yang juga pengusaha pelancongan ekologi, kebanyakkan kami menyokong usaha ini.

"Kami menggesa pihak kerajaan, terutamanya kepimpinan di teringkat tempatan untuk mempunyai visi dan memandang lebih jauh kehadapan, daripada mencari jalan penyelesaian dan keuntungan jangka masa pendek.

"Taman Negara dikenali seluruh dunia kerana kekayaan alam sekitarnya namun apabila kita gagal melindungi keindahan ini dan menyebabkan industri pelancongan tempatan yang sedang marak terjejas akibat isu seperti kualiti air, maka pemimpin tempatan telah gagal melindungi masyarakat," katanya.

Pada 2016, Taman Negara menerima kunjungan lebih 70,000 pelancong manakala pada 2017, jumlah itu meningkat kepada 74,000 ribu pelancong.

Jelas Wan Juhaizan, penduduk mula risau andai krisis air ini berulang dan menjejaskan jumlah pelancong yang datang ke Taman Negara.

"Lebih 80 peratus penduduk di sini bergantung kepada sektor pelancongan. Jika Taman Negara tidak lagi dikunjungi, bayangkan apa yang bakal menimpa nasib lebin 5,000 penduduk di sini," katanya.

Hasil tinjauan Astro AWANI ke Kuala Tahan mendedahkan bahawa kejadian sama turut berlaku pada 20 April lalu apabila hujan turun di kawasan tadahan air.

Walaubagaimanapun, penduduk kali ini lebih bersedia dan telah menyediakan tangki simpanan air kecemasan bagi menghadapi situasi tersebut.