Seorang guru besar menanggung kerugian RM9,650 selepas terpedaya dengan pemberian hadiah istimewa dari rakan luar negara yang baharu dikenalinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 59 tahun sebelum itu, mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook yang mendakwa berasal dari United Kingdom.

"Sewaktu berkenalan suspek berjanji akan mengirim barang sebagai tanda persahabatan dan pada 17 Februari lalu, suspek beritahu sudah menghantar barang berkenaan melalui perkhidmatan kiriman antarabangsa.

"Rabu lalu, mangsa dihubungi syarikat itu yang memintanya membayar caj pelepasan sebanyak RM3,800," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian memasukkan wang tersebut ke dalam akaun suspek.

"Mangsa sekali lagi ditipu apabila syarikat perkhidmatan kiriman itu memberitahu terdapat wang yang disorokkan ke dalam bungkusan berkenaan.

"Oleh yang demikian mangsa diminta membayar denda sebanyak RM5,850 yang harus dibayar kepada akaun yang sama," katanya lagi.

Mangsa kemudian diberitahu bungkusan tersebut hanya akan dilepaskan selepas mangsa dapatkan sijil Anti Pengubahan Wang Haram dengan bayaran RM16,000.

"Selepas itu, baru mangsa menyedari yang ini adalah penipuan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, Sabtu lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis kini sedang mengesan suspek.