Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak industri yang terdiri daripada sektor telekomunikasi, penyiaran, pos dan kurier selain pihak berkuasa pensijilan tandatangan digital komited dalam memastikan kesinambungan operasinya ketika berdepan pandemik COVID-19.

Kenyataan SKMM pada Rabu menyebut bahawa adalah penting untuk memastikan rakyat Malaysia terus memiliki akses kepada perkhidmatan komunikasi yang meluas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa semalam hingga 31 Mac.

Bagi telekomunikasi, industri itu akan memastikan bahawa kapasiti jalur lebar adalah mencukupi untuk menampung peningkatan penggunaan oleh pelanggan dan prestasi rangkaian diperhebat di sekitar lokasi kritikal seperti klinik dan hospital.

"Pengendali telekomunikasi telah meletakkan pelan kesinambungan perniagaan bagi memastikan rangkaian, aplikasi dalam talian dan perkhidmatan pelanggan beroperasi seperti biasa memandangkan kesalinghubungan mudah alih dan tetap akan menjadi sesuatu yang penting pada minggu-minggu akan datang," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengendali akan terus mengekalkan titik sentuh runcit yang relevan untuk memberikan akses berterusan telekomunikasi kepada orang ramai meskipun ia akan beroperasi dengan kakitangan dan tempoh operasi yang minimum serta mengehadkan jumlah pelanggan di kedai-kedai di mana yang boleh.

Bagi bidang penyiaran, siaran televisyen dan radio boleh diakses menerusi semua platform. Perniagaan juga digalakkan memanfaatkan saluran beli-belah TV di mana produk tempatan boleh dipasarkan untuk menjana pendapatan tambahan melalui saluran TV seperti Go Shop dan CJ Wow Shop yang boleh didapaati di MyFreeview, platform kandungan yang menawarkan TV1, TV2, TV3, Saluran Berita Bernama, Okey, TV9, NTV7, RTM Bes, Sukan HD RTM, 8TV, TV Al Hijrah dan enam saluran radio.

Bagi perkhidmatan pos dan kurier, Pos Malaysia dan GD Express Sdn Bhd telah melakukan usaha untuk meneruskan perkhidmatan penghantarannya dengan mengurangkan kontak ketika penghantaran serta meminta pelanggan memaklumkan secara lisan nombor kad pengenalan mereka kepada petugas penghantaran atau menghantar SMS yang meminta pilihan jenis penghantaran.

"Bagi memudahkan penghantaran kepada mereka yang dikuarantin, petugas penghantaran mungkin meninggalkan barangan di depan pintu rumah penerima yang terjejas dan berkomunikasi melalui telefon bimbit.

"Sekiranya penghantaran ke alamat sedia ada tidak boleh dilakukan akibat penutupan, Pos Malaysia digalakkan memanfaatkan Lokar Bungkusan atau Ezobox sebagai satu alamat penghantaran alternatif memandangkan perkhidmatan ini boleh didapati di 225 lokasi dengan kapasiti untuk memudahkan penghantaran sejumlah 15,000 barangan," menurut kenyataan itu.

Bagi pihak berkuasa pensijilan dan digital, Pihak Berkuasa Pemerakuan Berlesen (CA) hendaklah terus memudahkan transaksi digital yang dipercayai kepada individu daripada sektor awam dan swasta.

"Pihak yang berkaitan dinasihatkan merujuk kepada laman sesawang CA atau kontak khidmat pelanggan bagi mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan dan bantuan yang disediakan CA sepanjang tempoh ini," menurut kenyataan itu.

SKMM juga berkata rakyat Malaysia digalakkan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian yang disediakan semasa duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan pada masa sama, sentiasa merujuk kepada sumber rasmi untuk kemas kini perkembangan berkaitan COVID-19.

-- BERNAMA