Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara awal bulan ini, digazetkan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Berucap pada majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional (Hawana), beliau menolak kebimbangan sebilangan para wartawan kononnya akta baharu itu akan digunakan untuk menyekat kebebasan mereka dalam melaporkan berita.

"Tetapi saya ingin maklumkan, pandangan ini tidak tepat lagi, tidak benar kerana antaranya, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melalui Seksyen 8A telah menjadi kesalahan untuk menyiarkan berita palsu.

"Meskipun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada, masalah bagi membendung penyebaran berita tidak benar, tidak dapat dikawal secara efektif dan menyeluruh, berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas serta kompleks," katanya.