Draf cadangan undang-undang baharu menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) yang memberi peluang kedua kepada individu pernah diisytiharkan bankrap, kini sudah diperingkat akhir untuk dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata setelah draf undang-undang itu dimuktamadkan, ia akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.

"Saya yakin, dengan penggubalan undang-undang kebankrapan yang mengambil kira peluang kedua lebih-lebih lagi kepada golongan muda daripada terus dibankrapkan, akan dapat menangani masalah bankrap di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Forum Pendidikan Kewangan Bijak anjuran bersama anggota Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Lawas, Limbang pada Khamis.

Nancy berkata individu berusia antara 35 dan 44 tahun merupakan golongan paling tinggi bankrap setiap tahun berdasarkan statistik dari 2011 hingga Ogos 2015.

"Dalam tempoh itu, jumlah golongan itu yang bankrap ialah sebanyak 33,536 orang daripada keseluruhan 95,173 individu bankrap," katanya.