Satu akta baharu akan diwujudkan bagi menumpukan bidang kuasa kawalan sempadan Malaysia-Thailand selaras dengan bidang tugas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akta berkenaan dijangka dibentangkan di parlimen penghujung tahun ini.

Beliau memberitahu, setakat ini dua model perundangan membabitkan Australian Border Act 2015 dan UK Borders Act 2007 akan menjadi panduan dalam merangka akta berkenaan.

Ia juga akan melibatkan perbincangan dengan negeri-negeri sempadan dan Thailand untuk mencari persetujuan bersama.

"Perundangan ini secara umumnya mengawal sempadan dan agensi yang terlibat antaranya ialah AKSEM.

"Draf awal telah disediakan oleh penasihat undang-undang, Kementerian Dalam Negeri dan kita akan memperincikan dengan bahagian draf perundangan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum kita lakukan interaksi dengan kerajaan negeri yang bersempadan dengan negara jiran secara perbincangan town hall sebelum kita bawa ke parlimen,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, akta baharu ini akan membolehkan AKSEM bergerak sendiri dan beroperasi dengan lebih berkesan.

AKSEM kini beroperasi secara pentadbiran berdasarkan punca arahan Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran AKSEM di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Pada majlis sama, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan penukaran nama Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia kepada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.