Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dikaji semula bagi memastikan ia relevan dalam arus dunia masa kini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sedaya upaya mahukan kebebasan penulisan dan penerbitan serta penyiaran bahan-bahan itu tidak terlalu terkongkong dengan garis panduan sedia ada.

“Garis panduan itu, pada hemat saya, mungkin sesuai dulu, tetapi ia harus dimodifikasikan tanpa berkompromi dalam usaha mengekalkan etika kewartawanan dan juga beberapa aspek yang lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sesi ‘Luncheon Talk’ bersama Ketua-ketua Pengarang dan Pemilik Permit Penerbitan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Beliau berkata, mengikut kajian empirikal yang dijalankan oleh beberapa penyelidik, sebanyak 82 peratus audiens memilih untuk membaca bahan-bahan yang disajikan oleh media bukan tradisional.

“Ertinya, pasaran kita (media tradisional) cuma kira-kira 18 peratus, dan kita berkongsi satu kek yang kecil. Kita tak sepatutnya bergaduh sesama sendiri sebaliknya perlu bekerjasama dengan satu sama lain, dan juga dengan kerajaan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mengalu-alu pandangan daripada ketua-ketua pengarang serta semua yang terlibat dalam industri media melalui kempen #MediaCouncil yang merentasi platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Katanya, #MediaCouncil itu diwujudkan bagi mengumpul cadangan daripada pengamal media untuk memperkukuh dan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya sesuai dan relevan dengan situasi semasa.

"Melalui #MediaCouncil juga, kita akan membincangkan kebaikan dan keburukan mengenai cadangan penubuhan majlis media sebagai pengawalseliaan sendiri," tambahnya.

Pada sesi soal jawab majlis itu, Ahmad Zahid turut mendengar cadangan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif The Star Datuk Seri Wong Chun Wai agar Facebook dan Google dikenakan cukai seperti di Vietnam.

Katanya, beliau akan membawa cadangan tersebut ke mesyuarat Kabinet agar Google dan Facebook dikenakan cukai pada masa depan.