Kementerian Pendidikan sedang menggubal satu akta baharu bagi mengganti dan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan beberapa akta lain bagi memberi kebebasan akademik dan autonomi lebih luas bagi universiti.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu termasuklah mengadakan satu struktur tadbir urus baharu serta struktur pembiayaan yang lebih efisien dan mapan dalam usaha untuk meraikan kebebasan akademik dan autonomi di universiti.

"Kerajaan mesti mengubah fungsi daripada kawalan ketat ke atas universiti kepada pembuat dasar dan kawal selia yang lebih fasilitatif.

"Saya yakin dan percaya bahawa pendekatan baharu ini akan mengorak langkah baharu untuk universiti-universiti kami lebih gah di peringkat antarabangsa," kata beliau dalam paparan yang dimuat naik di laman Facebook Kementerian Pendidikan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Maszlee telah mempengerusikan satu mesyuarat di mana beliau telah dikongsi dengan dapatan hasil kajian ke arah memansuhkan AUKU.

"Antara tindakan yang akan diberi perhatian selepas ini adalah mengadakan satu akta pendidikan tinggi baharu bagi memansuhkan dan menggantikan AUKU, Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan akta-akta yang melibatkan institusi pendidikan tinggi yang bersifat akademik," kata beliau.

Mesyuarat itu menurut beliau, telah mempengerusikan mesyuarat yang membincangkan kerangka dasar kebebasan akademik dan autonomi di universiti.

Pada pertemuan itu dimaklumkan mengenai dapatan-dapatan yang diperoleh hasil kajian yang dikendalikan oleh penyelidik bebas dalam kalangan akademia.

Langkah itu selari dengan janji Kerajaan Pakatan Harapan untuk membawa semula kewibawaan universiti.


Sebelum ini, Maszlee ada menekankan komitmen beliau dan kerajaan untuk memansuhkan AUKU, di mana ia akan menjadi kenyataan dalam tahun 2020.

Katanya, AUKU tetap dimansuhkan kerana ia merupakan agenda utama beliau di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Langkah ke arah memansuhkan AUKU telah diambil termasuk membatalkan Seksyen 15(2)(c) AUKU pada akhir tahun lalu.

Mesyuarat Jumaat lalu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan pakar-pakar bebas.